Apa itu Futsal?
Futsal
adalah permainan yang pantas dan dinamik. Ia melibatkan ruang yang kecil
dan masa yang terhad. Hampir tidak ada ruang untuk membuat kesalahan. Oleh itu
penguasaan teknik dan pemahaman taktik amat penting. Dengan
pemahaman dan penguasaan dua elemen itu membolehkan
taktikal sesebuah pasukan mampu dikembangkan.
Futsal
adalah sukan berkumpulan. Dimainkan oleh dua pasukan, yang masing-masing di anggotai
oleh lima orang iaitu 4 pemain dan 1 penjaga gol. Objektifnya adalah memasukkan
bola ke dalam gawang lawan. Selain lima pemain utama, setiap pasukan juga
dibenarkan memiliki pemain simpanan.
Futsal
harus dimainkan dengan ‘fun’ dan ‘enjoy’. Jika kita bermain dari hati
tanpa beban dan kita menikmati permainan ini, prestasi akan lebih cepat
terserlah. Pada tahap ini jurulatih juga memegang peranan penting untuk
mengangkat moral pemain.
Futsal Di Malaysia.
Sukan Futsal mula masuk ke Malaysia pada tahun 1996. Ketika itu kita menerima jemputan ke kelayakan Piala Dunia di Sepanyol. Pasukan kebangsaan ketika itu dibimbing oleh jurulatih dari Belanda iaitu Vic Hermans dan dibarisi oleh pemain-pemain bolasepak kebangsaan seperti Khairul Azman, Azman Adnan, Dollah Salleh, Zainal Abidin dan beberapa pemain lagi. Pasukan kita layak ke Piala Dunia pada tahun tersebut namun mengakhiri perjuangan di peringkat kumpulan.
Kejohanan seterusnya adalah Futsal Tiger 5'S di Singapura pada tahun 1999. Skuad kebangsaan waktu ini dibimbing oleh Abdul Rahman Ibrahim selaku ketua jurulatih. Ketika ini sukan futsal tidak begitu popular sehinggalah penubuhan unit futsal bermula di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 2000 yang diketuai oleh Encik Jey Singh Mutthiah dengan jurulatih skuad futsal Malaysia ketika itu ialah Encik Bhawandi Hiralal.
Pada tahun 2003, penganjuran KL World Futsal 5's di Kuala Lumpur seakan
menjadi titik tolak kesuburan sukan ini di Malaysia. Persatuan Bolasepak Malaysia juga telah memanggil khidmat ketua jurulatih dari Brazil, Silvio Sergio Machado untuk membimbing pasukan futsal pada tahun tersebut. Semenjak itu, ramai orang
mula mengenali, meminati dan mengikuti perkembangan sukan ini. Pusat-pusat
permainan futsal juga semakin banyak dibuka di beberapa lokasi strategik
menjadikan sukan ini semakin popular terutama di kalangan remaja dan belia.
Perkembangan ini semakin meluas dengan penubuhan unit
atau jawatankuasa futsal Persatuan Bola Sepak Negeri. Pihak Kementerian Belia
dan Sukan turut membantu perkembangan ini dengan membina gelanggang futsal di
setiap parlimen seluruh Malaysia mulai tahun 2010.


Comments
Post a Comment